Monday, February 15, 2010

Tak semua manusia berakal waras...

Diawal posting dalam blog ini, saya mengaitkan manusia sebagai ciptaan Allah yang terbaik daripada semua ciptaanNya...

Namun apa yang berlaku sejak kebelakangan ini seakan tidak mencerminkan sama sekali unsur terbaik yang harus ada dalam diri setiap manusia...

Itulah yang tergambar dalam beberapa kejadian buang bayi yang berleluasa baru-baru ini seakan menunjukkan kepada kita semua bahawa buang bayi telah menjadi satu amalan yang tidak lagi menjadi pertimbangan akal bahawa bayi yang dibuang itu juga merupakan makhluk yang diciptakan Allah...

Saya tidak mahu mengaitkan kejadian2 tersebut dengan ketelanjuran pasangan hingga menyebabkan lahirnya anak luar nikah...tetapi saya merasa geram dengan sikap (dan sifat) kebinatangan yang ada hingga menyebabkan bayi yang tidak mampu melawan itu dibuang hingga sedemikian rupa....

Daripada yang dibuang kedalam semak samun hinggalah yang dibakar (sama ada sengaja atau tidak) semuanya membuatkan jiwa kita runtun mendengar atau membaca setiap kisahnya....

Bila melihat kejadian ini, saya seakan mahu menarik semula kenyataan saya sebelum ini bahawa "manusia merupakan makhluk yang istimewa"...ini kerana jika benar manusia itu makhluk yang cukup istimewa, mengapa mesti satu jiwa yang tidak berdosa dibuang manusia lain yang mempunyai akal?....

Namun sedarlah saya bahawa inilah dunia yang semakin celaru walaupun Allah telah kurniakan kita semua dengan akal fikiran agar menjadikan dunia ini satu tempat terbaik untuk kita semua....

Saya bukanlah orang terbaik untuk menyingkap kejadian ini dalam aspek agama, tetapi agama mana sekalipun bersetuju bahawa tindakan menidakkan hak makhluk yang lain khususnya dalam menikmati hidup ini merupakan tindakan yang zalim...

Saya harap kepada semua pembuang bayi ini fikirkanlah....mungkin buat masa ini anda terlepas daripada sebarang tindakan atau penguatkuasaan...tetapi masih terdapat "penguatkuasaan" yang sedang menanti anda....

Sebelum itu, fikirkanlah....bayangkan jika anda dibuang kedalam tong sampah, ditambah pula dibakar hidup-hidup...agak2 sakit tak?

Saturday, February 6, 2010

Selamatkah kita....

Setiap kali hendak menuju ke tempat kerja atau pulang ke rumah, saya pastinya akan terlihat beberapa kawasan perumahan yang menggunakan khidmat syarikat kawalan keselamatan demi memastikan setiap persekitaran selamat atau "aman"...

Kadangkala terdetik dihati saya, apa yang membuatkan ini semua terjadi?...rasanya pemandangan sebegini semakin ketara sejak kebelakangan ini atau mungkin sejak 10 tahun yang lepas....

Namun melihat apa yang berlaku terhadap masyarakat baik melalui pembacaan mahupun cerita orang membuatkan saya tidak "terkejut" dengan perkembangan ini...

Dalam erti kata lain dunia dan persekitaran kita nampaknya semakin tidak selamat...setiap hari ada sahaja ancamannya termasuklah ancaman penjenayah yang saban hari semakin hilang perikemanusiaannya...

Jika dibandingkan dengan dahulu, sememangnya suasana kini telah jauh berubah...saya masih ingat dahulu, saya bebas berjalan kemana-mana sahaja tanpa memikirkan soal keselamatan (melainkan soal keselamatan jalanraya)...

Memang benar dulupun sudah berlakunya jenayah tetapi rasanya tidaklah seserius kini...sekarang, hendak kemana-mana pun perlu difikirkan soal keselamatan apatah lagi soal keselamatan dirumah serta yang membabitkan keluarga....

Saya faham, bahawa desakan hidup merupakan antara punca berleluasanya jenayah tetapi rasanya desakan hidup semata-mata tidak boleh dijadikan alasan untuk kita pula meragut kesenangan dan kebahagiaan orang lain....

Tetapi kenapa ada orang lain yang sanggup meredah lautan beribu batu untuk datang ke Malaysia dalam mencari rezeki sedangkan rakyat kita sendiri yang tidak perlu lakukan itu semua tidak mampu? Kenapa mesti mencari jalan mudah dalam menghalalkan hasrat untuk bersenangan?

Jika benar rakyat Malaysia merupakan rakyat yang mengamalkan nilai positif yang tinggi, dimanakah letaknya nilai tersebut kini?

Saya tidak mahu sewenang-wenangnya menuding jari, tetapi rasanya banyak yang perlu dilakukan khususnya diperingkat akar umbi dalam menanam nilai murni yang sebelum ini telah sebati dalam jiwa rakyat Malaysia...

Bagi melawan segala unsur negatif yang semakin galak menyerang kita, rasanya kadang-kadang, lawan sebenar api adalah api itu sendiri hinggalah ia dengan sendirinya terpadam....